@churalliya

Friday, October 30, 2009

26 oct '09 : Majlis Istiadat Pertabalan


Pertabalan Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir, 61, sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, berlangsung dengan penuh adat istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 26 Oktober 2009.

Istiadat pertabalan ini, mencatat sejarah tersendiri di Negeri Sembilan dalam tempoh 42 tahun selepas kemangkatan Yang di-Pertuan Besar sebelum ini yang merupakan ayahanda saudara baginda Tuanku Ja’afar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, yang menaiki takhta pada April 1967.

Tuanku Muhriz, sebelum ini menyandang gelaran Tunku Besar Seri Menanti yang merupakan gelaran tertinggi dalam kedudukan Putera Yang Empat dalam tempoh 47 tahun, dimasyhurkan pada 29 Dis 2008, dua hari selepas kemangkatan Al-Marhum Tuanku Ja'afar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, pada 27 Disember 2008.

Istiadat bermula dengan peraturan menghadap Tuanku oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Jelebu Datuk Musa Wahab, Undang Luak Johol Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Rembau Muhamad Sharip Othman dan Undang Luak Sungai Ujong Datuk MubarakDohak.

Datuk Bentara Kanan Ibrahim Ujang kemudian hadir ke hadapan singgahsana baginda dan memohon perkenan Tuanku untuk memulakan istiadat dan kemudian menyeru Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak bagi memulakan tradisi seru menyeru yang dibuat turun-temurun sebelum ini.

"Hai, Bentara Kanan, serukanlah sabda Kami Undang Yang Empat kepada sekalian rakyat tua muda, kaya miskin, hina dina, dalam Alam Negeri Sembilan ini - Adapun pada hari ini kami mentabalkan Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan untuk menggantikan Seri Paduka Ayahanda Saudaranya, Al-Marhum Tuanku Ja'afar yang telah mangkat.

"Dan Tuanku Muhriz ini telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum dimakamkan Seri Paduka Ayahanda Saudaranya pada hari Isnin, 29 Disember, tahun masihi 2008, serukanlah sabda kami kepada sekalian rakyat mengadap dan menjunjung Duli,"seru Mubarak.

Selepas seruan Mubarak itu, Datuk Bentara Kanan menyambut dengan seruan kesetiaan terhadap pertabalan Tuanku Muhriz.

"Hai, tuan-tuan sekalian, tuan muda, kaya miskin, hina dina, adalah Undang Yang Empat dengan Adat Istiadatnya mentabalkan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan," seru Datuk Bentara.

Sebaik sahaja selesai upacara itu, Datuk Seri Amar Diraja dan Datuk Pegawai Yang Enam bangun untuk menurunkan Daulat sebelum Datuk Bentara Kanan dan kemudian melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali, diikuti semua hadirin.

Istiadat diteruskan dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan dimainkan beserta tembakan meriam 32 das dari bateri istiadat, Rejiman Askar Melayu DiRaja yang duduk di kawasan luar istana.

Dengan selesainya adat istiadat itu, Tuanku Muhriz rasmilah menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Tuanku Muhriz yang berjiwa rakyat diputerakan pada 14 Jan 1948 dan satu-satunya putera dari enam adik beradik hasil daripada perkahwinan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kesembilan iaitu Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Durah.

Istiadat pertabalan turut disaksikan oleh Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Al-Marhum Tengku Besar Mahmud, Pengiran Muda Makhota Brunei serta Pengiran Isteri, Pemangku Raja Kelantan dan Pemangku Raja Pahang serta Tengku Puan Pahang, Dato’-Dato’ Undang Yang Empat serta Tok Puan dan Tunku Besar Tampin serta Tunku Isteri, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, dan Sabah serta Toh Puan, Raja-Raja Muda serta Raja Puan Besar dan Raja Puan Muda, wakil-wakil Raja-Raja Melayu dan Yang Amat Mulia Putera-Putera Yang Empat.

Turut hadir pada Perdana Menteri , Dato’ Seri Utama Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Menteri Besar Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan serta isteri Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim serta isteri, Menteri Kerja Raya, Dato’ Shaziman Abu Mansor, Speaker Dewan Undangan Negeri Dato’ Razak Mansor, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Wakil-wakil Raky at serta Ahli-ahli Parlimen dan Ketua-ketua Jabatan.
Sementara itu, Tuanku Muhriz dalam titah ucapannya menyeru supaya semua pihak dan pemimpin yang telah dipilih oleh masyarakat mereka memulakan kerjasama untuk kepentingan rakyat dan negeri ini.

Perpaduan merupakan elemen terpenting kepada kestabilan dan kemakmuran negara, titah baginda.

"Dengan kekuatan ini, Beta menyeru kepada semua agar bergerak seiring ke hadapan untuk meningkatkan lagi kemakmuran negeri dan negara," titah baginda.

Baginda turut mengajak tetamu mengimbas kenangan baginda semasa kecil ketika menyaksikan perkembangan Negeri Sembilan di bawah pemerintahan ayahanda baginda iaitu Almarhum Tuanku Munawir serta nenda baginda, Almarhum Tuanku Muhamad.

Baginda menegaskan, nenda-nenda baginda yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Negeri Sembilan telah memainkan peranan yang penting untuk pembangunan negeri ini malahan nenda baginda, Tuanku Muhamad sentiasa mengalakkan rakyat untuk menghantar anak mereka ke sekolah Melayu dan Inggeris.

Tuanku Muhamad turut menubuhkan sebuah sekolah perempuan di Seri Menanti 100 tahun dahulu yang sebenarnya merupakan satu tindakan yang berani serta inovatif pada masa itu kerana ketika itu, sekolah seperti ini hanya terbuka untuk golongan elit.

Pada peringkat kebangsaan, Tuanku Muhamad bersama dengan Raja-raja Melayu telah menyokong penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Rejimen Askar Melayu Diraja, titah baginda.

Istiadat pertabalan hari ini ia mendapat liputan daripada 34 wakil media termasuk disiarkan secara langsung oleh telivisyen tempatan.

(sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan)



berlatar belakang kan istana




close up skit muka-muka pancaragam sekolah


dlm dewan banquet tgh tggu masa kena layan mcm2 karenah manusia.. adoiiii..


with kakak2 tentera.. mmg geng ngan tentera je skang nih..


semua port dlm dewan.. kat luar tu panas terik..



masa ni kelakar gile.. dok sibuk melopong tgk kejelitaan jelitawan kaum kerabat istana smpai lupa tgh pegang camera, tp tak snap pon.. dah last2 baru tersedar dr mimpi.. 2 keping je dpt.. wahahaha..



dah.. jom gi makan bawah pokok..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...